Pages

Ahad, 28 Disember 2014

Mengenal Al-Quran

Teks: Siti Husnaa

Menurut bahasa, Al-Quran adalah berdasarkan daripada perkataan qiraah yang bermaksud bacaan atau himpunan huruf atau kalimah manakala Al-Quran secara lafaznya bermaksud yang dibaca.

Menurut istilah pula, Al-Quran ialah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril a.s. dalam bahasa Arab, dan ia disampaiakan secara mutawatir atau berperingkat, dan membacanya merupakan adalah ibadah.

Ulama terdahulu mengkaji dan membahaskan berkenaan ilmu-ilmu Al-Quran sehingga mereka mampu mengkaji ilmu-ilmu yang menghasilkan pelbagai ilmu yang kita ketahui hari ini seperti perubatan, pendidikan, teknologi dan lain-lain lagi.

Dalam pada kita membaca, mari saya kenalkan diri kita akan kitab Allah ini agar semakin bertambah kecintaan kita kepada Allah, Rasulullah, dan Kitabullah.

-Al-Quran memiliki 30 juzuk
-Al-Quran memiliki 114 surah, 
-Al-Quran memiliki 6236 ayat.
-Setiap surah disusun dari surah yang paling panjang hingga ke surah yang paling pendek kecuali surah Al-Fatihah . 
-Surah-surah tersebut boleh diklasifikasikan kepada dua kategori iaitu 
a)kategori tempat penurunan sama ada di Mekah atau Madina dan 
b)kategori kepanjangan ayat.


Rabu, 17 Disember 2014

Diari Tadarus Al-Quran

Teks: Siti Husnaa


Tajuk blog saya ialah Diari Tadarus Al-Quran

Untuk pengetahuan semua, blog ini adalah blog pertama yang saya buat bercirikan tulisan penuh Bahasa Melayu. Saya cuma berharap ia menjadi blog yang baik dan berguna kepada pembaca. Sebenarnya, sampai sekarang saya masih berfikir apakah tajuk yang sesuai untuk tajuk blog saya ini.

Akhirnya, saya membuat keputusan untuk meletakkan tajuk blog berkenaan diari kehidupan saya tetapi mengkhususkan berkenaan Tadarus Al-Quran.  Walau bagaimanapun, saya bercadang untuk memasukkan apa-apa sahaja perkara yang saya ingin saya masukkan ke dalam blog saya. Anggaplah ini sebagai perkongsian dari saya melalui blog untuk pembaca blog saya. Lagipun, inikan blog saya, bukankah ia hak mandatori saya? Jangan marah ya. Hehe.

Saya mula belajar buat blog kerana saya suka sangat membaca blog, dan saya mahu mencuba menterjemah apa yang saya baca kepada suatu perkongsian yang berguna kepada pembaca blog saya melalui penulisan di dalam blog. Apa kaitannya dengan menulis di blog ya? Sebenarnya, saya mahu cuba-cuba menulis walaupun pada mulanya agak liat juga untuk menulis di blog.


Kalau begitu, kenapa perlu tulis di blog tentang diari? 

Bukankah diari adalah berkenaan personal matter? Ya, salah satu sebab adalah saya hendak berkongsi apa-apa berkenaan tadarus Al-Quran di sini di samping saya dapat memupuk sikap suka menulis agar latihan penulisan saya menjadi lebih baik dan perkongsian ilmu yang berguna dapat dikongsikan melalui diri saya kepada orang lain.

Melalui Puan Anys Idayu Zakaria dari Akademi Bekerja Di Rumah, saya mula belajar buat blog dengan cara yang betul agar apa yang saya cuba sampaikan melalui tulisan blog, dapat pula sampai ke hati pembaca blog saya.

Berbalik kepada tajuk blog ini, saya bercadang untuk berkongsi dan bertukar-tukar ilmu berkenaan tadarus Al-Quran, tarannum Al-Quran, tajwid Al-Quran dan lain-lain ilmu berkaitan Al-Quran. Saya tidak menjamin blog ini menjadi panduan khusus untuk sesiapa mencari dan mendalami ilmu Al-Quran kerana ilmu saya juga sedikit.

Walau bagaimanapun, ia lebih kepada perkongsian semata-mata. Yang mana bermanfaat, ambillah, moga ia beri kebaikan kepada anda serta memberi pahala dan amal jariah kepada saya. Di dalam blog ini, saya tidak mengkhususkan tentang ilmu Al-Quran sahaja, tetapi juga isu-isu lain, insyaallah.


Qariah Negeri Pahang

Saya telah dilahirkan di negeri Kelantan, namun menetap sejak kecil kerana ibu bapa saya bekerja di sini. Berkat ajaran dan didikan ibu saya, saya pernah mengikuti beberapa pertandingan tilawah Al-Quran sejak dari sekolah rendah, sekolah menengah, dan sehingga kini, saya masih aktif memasuki pertandingan kategori dewasa.

Alhamdulillah, banyak ilmu, pengalaman, dan kejayaan yang saya perolehi dalam tempoh mempelajari ilmu berkenaan Al-Quran ini. Saya diberi banyak peluang belajar Al-Quran di sini, di negeri Pahang. Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, dan Jabatan Agama Islam Pahang adalah merupakan institusi yang banyak membawa saya dan rakan-rakan qari dan qariah dari negeri Pahang dalam memperbaiki mutu bacaan Al-Quran kami masing-masing.

Banyak kursus yang dianjurkan dan juga banyak kursus yang telah saya ikuti. Persatuan Tarannum Pahang (PTP) juga adalah persatuan yang berperanan menjaga kebajikan guru-guru dan pelajar dalam memartabatkan ilmu Al-Quran di negeri Pahang ini supaya ia lebih mendapat tempat di hati masyarakat di luar sana berkenaan ilmu dan seni pembacaan Al-Quran, di samping membuat kursus secara bulanan ataupun tahunan agar sesiapa yang berminat turut dapat menghadiri dan mengikuti kursus yang dianjurkan.


Minat Pelajari Ilmu Kesihatan

Tercetusnya minat kepada ilmu kesihatan ini adalah kerana penyakit yang emak saya hidapi iaitu penyakit batu karang serta lumpuh yang dialami nenek saya selama bertahun-tahun lamanya. Penderitaan nenek saya berakhir dengan pemergiannya pada hari terakhir saya di Kolej Matrikulasi Pahang (KMPH) selepas peperiksaan semester 1.

Sumber : http://lulalilolife.blogspot.com/


Pulangnya saya ke rumah pada hari tersebut, disambut dengan penantian kepulangan saya. Kereta sudah dihidupkan, sementara ahli keluarga saya pula telah menyiapkan semua keperluan pakaian kami masing-masing. Apa yang saya masih ingat, mereka cuma menanti saya untuk pulang agar dapat bertolak terus ke Kelantan serta merta. Pada hari tersebut, barulah saya tahu, seluruh ahli keluarga merahsiakan dari pengetahuan saya selama dua bulan lebih kerana risaukan masalah nenek saya itu akan menjejaskan prestasi saya dalam matrikulasi.

Beberapa hari kemudian, barulah emak saya membuka mulut dan bercerita, sebelum pemergian nenek saya, ada beberapa pertanyaan yang diajukan kepada emak saya. Antaranya, nenek saya bertanya di mana saya, tidak pulangkah saya ke Kelantan, bila Husnaa hendak baca Al-Quran depan Ummi (nama panggilan nenek saya) lagi. Mengalir air mata saya, mengimbau kembali siapa nenek saya, bagaimana kehidupan nenek dan datuk saya. Neneklah yang banyak mengajar ibu saya, adik beradik ibu saya, saya dan adik beradik saya dalam membaca Al-Quran. Seketika dulu saya bercuti hujung tahun di rumah nenek saya, saban hari setiap kali selepas solat fardhu, saya akan membaca Al-Quran dengan bertarannum untuk diperdengarkan di hadapan nenek saya setiap kali lepas solat. Tidak sampai dua minggu, saya kehilangan suara dengan sakit tekak kerana terlalu sakit dek luka. Mungkin kerana terlalu mengasak suara sehingga lupa diri.


Tamat Matrikulasi

Selepas tamat matrikulasi, semakin banyak ilmu yang saya belajar tentang Al-Quran. Semakin seronok rasanya belajar ilmu Al-Quran, malahan semakin rasa kurangnya ilmu di dada dan semakin bersemangat pula saya hendak belajar. Bersyukur saya diberi peluang oleh pihak Jabatan Agama Islam Pahang yang menganjurkan kelas kursus yang membolehkan saya belajar dengan Dato' Ahmad Faizul. Begitu banyak yang dipelajari, walaupun saya merasakan tidak tekejar kerana ilmu yang dicurahkan begitu banyak. Ditambah pula dengan kekurangan dan kelebihan suara saya yang dikategorikan sebagai nipis, beliau mengajar pelbagai teknik supaya saya dapat memanfaatkan kelebihan suara dengan teknik yang betul agar latihan yang diberi dapat melatih suara saya agar menjadi lebih baik.

Selepas tamat Matrikulasi, saya kemudiannya menyambung pengajian di UiTM. Bersyukur saya, kerana dapat menyambung pengajian sebagai seorang pelajar Ijazah Teknologi Makmal Perubatan dari UiTM. UiTM adalah universiti impian saya dari kecil. Entah mengapa, tetapi itulah impian saya sejak dari kecil.


Perancangan Kini

Sehingga kini pun, saya masih mempelajari, mengulang kaji, dan memperbaharui ilmu agar saya tidak lupa apa yang telah dipelajari agar ia kekal dalam ingatan dan juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Bagi saya, ilmu tarannum Al-Quran memerlukan kesabaran, kesihatan yang baik, latihan yang berterusan, serta kefahaman yang jelas bagaimana kita hendak membaca Al-Quran mengikut kesesuaian makna ayat tersebut. Saya berimpian untuk menjadi seorang guru Al-Quran, dan pengamal kesihatan mengikut ajaran Al-Quran. Doakan untuk saya, moga saya berjaya dunia akhirat.


Saya berdoa dan berharap, moga Allah memberi pahala dan ganjaran berterusan kepada ibu bapa saya, datuk nenek saya, ahli keluarga saya yang membesarkan saya, memberi kasih sayang dan mengorbankan serba serbi untuk saya. Tidak dilupakan alhamdulillah dan moga Allah sahaja yang membalas jasa guru-guru saya yang banyak mengajar dan mendidik saya sejak dari kecil hingga dewasa dalam memberi tunjuk ajar,ilmu dan pengajaran berguna kepada saya terutamanya Ustazah Raudhah, Ustaz Md Husin dari Kelantan, Dato' Ahmad Faizul, Lebai Haji Syafie, dan Dato Nik Jaafar dan lain-lain lagi. Moga Allah memberi sebaik-baik pembalasan di dunia dan akhirat kepada semua.

Amiin.


Terima kasih kepada pembaca blog yang sudi melawat dan membaca catatan blog saya juga.







Baru Belajar Baca Al-Quran

Teks: Siti Husnaa


Setiap ibu bapa pastinya menginginkan agar setiap dari anak-anaknya mampu untuk membaca setiap huruf dan setiap dari ayat-ayat Al-Quran. Tentunya juga, kita mahu supaya diri kita juga beroleh kemampuan untuk membaca Al-Quran.

Ada antara kita yang mungkin kurang bertuah, tidak diberi pendidikan berkenaan Al-Quran sejak dari kecil. Kemudian Allah memberi hidayah untuk kita kembali mempelajari Al-Quran walaupun usia sudah menjelang senja. Maka, bersyukurlah kerana kita masih diberi kesempatan untuk mempelajari pembacaaan Al-Quran.

Sama-sama kita ucapkan doa ini, 

"Alhamdulillah, Ya Allah kerana memberi aku kesempatan untuk mempelajari, membaca, memahami, menghafal dan mengamalkan ajaran dari kalamMu. Bantuilah aku agar aku terus diberi kemampuan olehmu untuk mempelajari, membaca, memahami, menghafal dan mengamalkan ajaran dari Al-Quran sehingga ke akhir hayatku. Amiin"

Bila kita menginginkan sesuatu sama ada yang berbentuk ilmu ataupun harta, hadirkan diri dengan penuh keyakinan kepada Allah, Insyaallah akan dimudahkan dan diberi kemudahana. Cuma, peka dengan setiap nikmat dan rezeki dari Allah walau sebesar zarah pun.

Begitu banyak kelebihan dan kebaikan dari mempelajari dan memahami Al-Quran. 
Antara mahu ataupun tidak. 

Sekiranya kita merasa letih, penat, dan malas, ingatlah sabda Nabi.

Sumber: http://farisbuditrinugroho.blogspot.com/



Pesanan dari saya kepada semua pembaca:
Ayuh, kita mula belajar Al-Quran.
Ayuh, kita mula baca Al-Quran.
Ayuh, kita mula faham Al-Quran.
Ayuh, kita mula amalkan ajaran Al-Quran.
Ayuh, kita mula hafal Al-Quran.


Mulakan dari sekarang. 
Tiada apa yang akan terhasil jika tiada action yang dilakukan.

Salam mahabbah buat semua umat Islam.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...